TERKINI

Susuk RM1 Juta untuk rupa ‘Barbie’

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh lima tahun dia mendakwa sudah berhabis kira-kira RM1 juta semata-mata mahu kelihatan seperti anak patung popular Barbie.

Bagi Izubiela Rasi atau Bella, 29, atau lebih dikenali dengan nama Instagram @izubielazaffmarekan setiap kali memuat naik fotonya di Instagram mahupun Facebook, pasti ada di antara pengikutnya menyamakan dirinya seperti doll atau anak patung.

Ada yang beranggapan foto dimuat naik Bella melalui proses suntingan yang keterlaluan untuk kelihatan seperti patung bernyawa.

Namun, peluang bertentang secara empat mata dengan wanita ini, memang begitulah rupa paras dan fizikalnya di luar.

“Maaf bukan mahu meninggi diri, tetapi jujur memang selalu ada yang menyapa saya kelihatan seperti doll dan Barbie.

“Ada juga yang minta untuk bergambar,” kata Bella membuka bicara.

Ujar Bella lagi, patung Barbie gambaran wanita yang sempurna.

Semetri wajah menawan, berambut lebat dan bertubuh langsing, membuatkan wanita obses untuk menjadi seperti boneka yang dimiliki hampir semua kanak-kanak perempuan seluruh dunia itu.

“Saya juga tidak terkecuali. Tetapi tidaklah sampai buat pembedahan plastik atau kosmetik. Malah, tidak menggayakan fesyen seperti Barbie sebaliknya suka mengenakan gaun yang glamor.

“Saya jaga makan untuk mengekalkan saiz tubuh sedia ada, mengambil makanan tambahan pencerahan kulit, selalu ke salon untuk mendandan rambut, melakukan senaman, urutan wajah, memakai korset setiap hari dan menjalani pelbagai rawatan kulit, salah satunya mengambil suntikan vitamin C.

“Saya juga suka membeli barangan mekap dan akan menghabiskan masa dua hingga ke tiga jam untuk bersolek bagi mendapat doll look yang sempurna.

“Terus-terang demi nak cantik, saya tak kisah berhabis wang,” katanya.

Akui wanita ini, sejak remaja lagi dia sangat menjaga bentuk tubuh dan suka pada kecantikan termasuk melihat benda-benda yang cantik.

Obsesi pada kecantikan juga mendorong wanita berasal dari Pulau Pinang ini, mengeluarkan produk kecantikannya sendiri.

“Idea mengeluarkan produk sendiri tercetus selepas kemalangan ketika penggambaran sebuah drama. Akibat daripada kejadian itu hidung saya patah dan senget ke kanan.

“Rasa ‘down’ masa tu, perlahan-lahan saya merawat diri dan melakukan pelbagai usaha untuk mencantikkan diri.

“Bertitik tolak dari kemalangan itu juga saya mula minat membuat produk sebagai salah satu cara untuk berkongsi tip kecantikan dengan wanita di luar sana yang berasa rendah diri dengan kekurangan mereka.

“Saya mencari penyelesaian serta formula produk yang berkesan bahkan berupaya mencantikkan dan memutihkan kulit,” kata wanita berbakat dalam nyanyian dan memiliki vokal mirip Datuk Seri Siti Nurhaliza itu.

Pesan Bella kepada mereka yang obses untuk kelihatan cantik seperti patung Barbie, tidak perlu sehingga merisikokan diri atau membahayakan nyawa dengan melakukan pembedahan plastik/kosmetik lebih-lebih lagi mereka yang berstatus Muslim.

“Cukup sekadar mengawal pemakanan, menjaga kulit dan aplikasi teknik solekan yang betul,” katanya.

Sumber : HarianMetro