Selamat tiba. Laungan takbir, syahid iringi jenazah….

SUASANA sedih diselangi laungan syahid dan takbir mengiringi jenazah pensyarah dan Imam Palestin Dr Fadi M R Albatsh sebelum disolatkan di Surau Medan Idaman, Setapak pada 1.30 tengahari.

 

Kira-kira 2000 jemaah hadir bagi menyempurnakan solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

 

Jenazah Allahyarham yang dibawa ke Surau Medan Idaman diusung dari kediamannya dan diiringi kira-kira 100 individu sebelum tiba di surau pada 1. 10 tengahari.

 

Jemaah kemudian menunaikan solat Zuhur sebelum menyempurnakan solat jenazah. Suasana hiba turut menyelubungi persekitaran surau apabila ada jemaah yang menangis disamping laungan takbir dan intifada.

 

Jenazah kemudian diusung keluar dan dibawa menaiki kenderaan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Difahamkan jenazah akan dibawa ke Mesir dengan penerbangan Egypt Air pada 7 malam ini dan dijangka tiba di Cairo, Mesir pada 9 pagi waktu tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, jenazah kemudian akan dibawa menaiki kenderaan ke sempadan Rafah.

 

“Perjalanan akan mengambil masa kira-kira lima jam untuk ke Rafah. Sejurus tiba di Rafah jenazah akan terus dibawa ke Gaza, Palestin.

 

“Kedua ibu-bapa dan adik beradiknya akan menunggu mereka yang dijangka tiba pada 9 pagi,” katanya.

 

Menurutnya, MyCARE turut menghantar dua individu bagi mengiringi perjalanan isteri Allahyarham, Enas Albatsh berserta tiga anaknya.

 

“Keluarga Allahyarham akan turut menetap di Gaza, Palestin dan kita berharap perjalanan mereka dipermudahkan,” katanya.

 

Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang membawa jenazah Fadi tiba pada pukul 3.03 petang bersama lima buah kenderaan milik ahli keluarga yang diiringi oleh dua buah motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

imam palestin

 

Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan di luar pintu masuk terminal tersebut apabila diberitahu hanya kenderaan rasmi duta sahaja dibenarkan masuk ke dalam bagi mengiringi kenderaan yang membawa jenazah Fadi.

 

Keadaan dapat diredakan selepas Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr. Anwar Al Agha memberikan penjelasan kepada kumpulan yang dipercayai rakan kepada Fadi yang turut sama mengiringi jenazah selepas selesai solat jenazah di Surau Medan Idaman, Setapak, Kuala Lumpur.

 

Jenazah akan diterbangkan pada pukul 7.30 malam menuju ke Kaherah Mesir sebelum meneruskan penerbangan ke Rafah menuju ke Gaza.

 

Fadi yang merupakan pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu ditemui mati dibunuh selepas ditembak oleh dua lelaki yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Pu­teri, Jalan Meranti, Setapak, Kuala Lumpur pada pukul 6 pagi, 21 April lalu.

 

Semasa kejadian, mangsa sedang berjalan kaki untuk me­nunaikan solat Subuh di Surau Medan Idaman yang terletak berdekatan dengan kediamannya itu

Sumber : http://hangatberita.com/laungan-takbir-syahid-iringi-jenazah-fadi/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *