Info,  Membawang

“Neelofa tak bagi post..” – Adik siarkan gambar comel jutawan Neelofa ketika kecil!

Keperibadian dan karakter menyerlah Neelofa sudah dapat dilihat di mata ibunya, Datin Kartini sejak kecil lagi.

Memiliki sembilan anak dengan pelbagai ragam dan karakter, naluri ibu Kartini sudah dapat merasai dan membayangkan Neelofa memiliki ciri istimewa yang membuatkan dia berada pada tahap yang membanggakan sekarang. Neelofa baginya mempunyai karakter dan keperibadian yang menonjol sejak sekolah hingga menginjak dewasa.

Neelofa dan Datin Kartini.

“Sewaktu melahirkan Neelofa dan memilih nama untuknya, naluri seorang ibu dapat merasa sesuatu mengenai dia. Dalam proses membesarkan Neelofa pula, saya merasakan perjalanan itu cukup mudah, Alhamdulillah semuanya senang.

Neelofa memang berdisiplin dan teratur sejak kecil. Pernah masa kecil dahulu, Ummi saya membawa Neelofa keluar berjalan dan apabila pulang Ummi menceritakan bahawa Neelofa mengasingkan baju kotor yang dia bungkus di dalam plastik supaya tidak bercampur dengan pakaian bersih.

Neelofa juga sudah tahu mendandan rambut ketika berusia empat tahun tanpa bantuan orang lain. Selain itu, setiap uniform sekolah bersama dengan tudung dan kelengkapan lain biasanya dia akan susun dan masukkan ke dalam plastik dan susun satu persatu dengan kemas dan tersusun.

Neelofa ketika kecil.

“Saya sudah nampak kelebihan Neelofa daripada segi akademik sejak dia kecil lagi. Dia memang seorang yang rajin dan penuh disiplin. Dia mula menghadiri tuisyen sejak umur enam tahun dan ketika usia itu dia sudah boleh faham pembelajaran tahap dua dan tiga.

Ketika dia darjah enam dan perlu menduduki peperiksaan UPSR, dia berusaha menghabiskan ulangkaji berpuluh-puluh buku. Neelofa satu-satunya anak saya yang setelah pulang dari sekolah, dia akan ambil meja kecil dan duduk belajar dengan saya dan bertanya itu ini. Hingga sekarang pun jika dia mendapat sebarang tawaran berlakon atau kerja, dia mesti akan bertanyakan pendapat saya.

Contohnya dia akan keluar dengan drama terbaru Oktober ini bertajuk Suri Hati Mr Pilot bergandingan bersama pelakon lelaki terkenal, Fattah Amin.

Hal berkenaan menandakan dia percayakan saya dan menghargai pendapat saya sebagai seorang ibu yang mahukan hanya yang terbaik untuk dia. Neelofa memang tidak pernah sekali pun membelakangkan saya sehingga ke hari ini walaupun dia sudah berjaya di satu tahap yang tinggi. Walaupun pernah dimarahi, dia tidak pernah melawan kata saya,” kata Kartini yang berbangga dikurniakan anak sebaik Neelofa.

Kartini terus berkongsi bahawa Neelofa adalah seorang yang tidak suka sesiapa tahu apa yang ada di hatinya. Dia lebih rela memendam perasaan daripada menyusahkan orang lain.

“Pada usia 13 ke 17 tahun, saya terpaksa berjauhan dengan Neelofa kerana dia menyambung pelajaran di MRSM Langkawi. Bagi saya, walau sayang macam mana pun saya kepada Neelofa, saya tetap harus melepaskan dia demi kebaikan kerana saya tahu masa depan dia akan terjamin di sana.
Sepanjang dia di MRSM, kami banyak berhubung melalui telefon sahaja kerana saya mempunyai kekangan masa untuk melawatnya. Iyalah saya harus menjaga anak yang masih kecil ketika itu.

Neelofa memiliki satu tabiat yang sukar untuk menceritakan apa yang dia rasa – sedih atau sakit, semuanya dipendamkan. Sehinggalah dia tamat belajar baru saya tahu yang dia kerap menangis di tandas pada awal kemasukannya di MRSM kerana rindukan rumah dan keluarga. Jika saya telefon dia dan terdengar suaranya seolah selesema, pasti dia akan cakap sudah sihat sedangkan dia berbohong kerana tidak mahu menyusahkan keluarga,” jelas Kartini.

“Ramai orang tahu yang Neelofa memiliki karakter ceria di kaca televisyen. Realitinya, Neelofa adalah seorang yang cukup nakal dengan ahli keluarga dan kuat menyakat adik-beradiknya.

Contohnya, jika Neelofa pulang ke rumah, dia akan melekatkan bulu mata palsu dia pada gelas atau cermin bagi menandakan kehadirannya.

Dia sentiasa buat saya gembira dan ceria setiap hari, jika tiba di pejabat dan dia terlihat saya pasti dia akan jerit ‘Mommyyyyyyy!’ Walau ke mana pun dia pergi, saya akan pastikan kami tetap berkomunikasi. Nak tambah sedikit, saya sangat gemarkan Briyani masakan Neelofa. Sangat sedap!” tambah Kartini lagi.

Sumber : Jelita & IG Littlemisskhan

Leave a Reply