Tauldan,  TERKINI

‘Kamu sudah bersabar menunggu saya menyelesaikan PhD dan kini, saya pula akan menunggu kamu..’ – Amanat terakhir arwah suami

Share

Tweet

Share
KUALA LUMPUR: Isteri kepada pensyarah universiti dari Palestin, Dr Fadi M R Albatsh, yang maut ditembak dua suspek di hadapan Kondominium Idaman Puteri di Setapak, awal pagi Sabtu lalu, menuntut kedua-dua penjenayah berkenaan dikenakan hukuman berat.

“Mereka seharusnya dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman berat atas perbuatan mereka,” kata Enas Albatsh, 31.

Enas percaya Mossad adalah dalang di sebalik pembunuhan suaminya.


Beliau berkata, mereka sekeluarga tidak pernah menerima sebarang ugutan dan hidup seperti keluarga normal yang lain.

“Beliau disayangi ramai orang dan amat mencintai bidang pendidikan. Bagaimana orang mahu mengancam kami?” katanya.

Enas juga memberitahu, amanat terakhir diberikan Allahyarham suaminya ialah mahu melihat beliau menyambung dan menyelesaikan pengajian bagi peringkat doktor falsafah (PhD) di Malaysia.

Katanya, beliau sudah mendaftar untuk program PhD di Universiti Malaya, namun kini memutuskan untuk meneruskan pengajian secara atas talian kerana sudah merancang untuk menetap di Gaza buat selama-lamanya.

“Saya masih teringat arwah suami berkata, kamu sudah bersabar menunggu saya menyelesaikan PhD dan kini, saya pula akan menunggu kamu. Beliau bertegas mahu saya menyambung pengajian,” katanya, di sini, malam ini.

Kenyataan Enas kepada media itu diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh seorang penduduk Palestin yang menetap di negara ini.

Pensyarah berusia 35 itu yang juga seorang imam, ditembak mati ketika sedang berjalan ke surau untuk mengimamkan solat subuh.

Kedua-dua penyerang bermotosikal itu dikatakan sudah menunggu ketibaan mangsa dan melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah mangsa.

Allahyarham Dr Fadi meninggalkan seorang isteri dan tiga anak, masing-masing berusia enam tahun, empat tahun dan satu tahun.

Fotofit kedua-dua penyerang sudah diedarkan di semua pintu keluar utama negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi dilaporkan berkata, suspek dipercayai berasal dari Eropah atau Asia Barat.

Sumber :https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/04/416560/jatuhkan-hukuman-berat-kepada-merekam

Leave a Reply