Info,  TERKINI

‘Ini lakaran wajah suspek bunuh Fadi..’ – Ketua P0lis Negara

LAKARAN wajah suspek lelaki yang dipercayai membunuh pensyarah warga Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma didedahkan dan diletakkan di pintu keluar negara.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek dipercayai adalah warga Eropah atau Timur Tengah.

Image result for Ini lakaran wajah suspek bunuh Fadi [

“Lakaran wajah suspek itu dibuat oleh pakar kami berdasarkan kenyataan daripada saksi.

 

“Mereka berkulit putih, mempunyai janggut, berbadan tegap, setinggi kira-kira 180cm, mereka menunggang motosikal jenis BMW GS atau Kawasaki Versys berwarna hitam semasa hari kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, hari ini.

 

Apabila ditanya sama ada lelaki masih di negara itu, beliau berkata: “Kami masih belum mendapat kepastian, bagaimanapun, kami sudah bekerjasama dengan agensi tempatan dan antarabangsa yang berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fuzi berkata, proses bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dan badannya.

 

“Ahli patologi forensik menemui 14 butir peluru dalam badan mangsa. Kami akan menghantar peluru berkenaan kepada pakar senjata kami untuk mengenal pasti jenis senjata yang digunakan oleh suspek.

 

“Arahan juga sudah dikeluarkan kepada polis kontinjen Kuala Lumpur untuk menempatkan anggota bagi melindungi isteri dan anak-anak Fadi.

 

“Setakat ini, ahli keluarga tidak menghadapi sebarang ancaman yang boleh memudaratkan keselamatan mereka, selain itu, ada kemungkinan kami akan mengambil keterangan daripada adik mangsa,” katanya.

 

Fuzi turut menggesa orang ramai yang ternampak sebarang perkara yang mencurigakan antara pukul 5 hingga 7 pagi berhampiran tempat kejadian pada hari Sabtu untuk tampil membantu siasatan.

 

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Shahrizal Salleh di nombor 017 713 4705 atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Wangsa Maju, Asisten Superintendan Khairil Idzwan Ahmad di nombor 019 359 2582.

 

Wajahnya tenang dan berseri…  

“SENYUMANNYA masih sama seperti ketika dia masih hidup,” kata Ilman Abdul Razak, salah seorang penuntut Allahyarham Dr Fadi M R Albatsh Fatma yang berpeluang menatap wajahnya buat kali terakhir, hari ini.

 

Penuntut semester empat jurusan Kejuruteraan Elektrikal Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UNIKL BMI) itu berkata, semasa hayatnya Fadi memang seorang yang ceria dan selalu tersenyum.

“Senyumannya pasti tidak akan dapat saya lupakan apabila berpeluang menatap wajahnya buat kali terakhir. Saya terkejut melihat senyuman itu masih ada.

 

“Beliau seorang pensyarah yang sangat baik kepada semua pelajarnya. Saya tidak sangka selepas ini saya tidak berpeluang lagi untuk mendengar celotehnya dalam kelas,” katanya kepada pemberita.

 

Penuntut semester empat jurusan sama Muhammad Shariq Hazard berkata, wajah Allahyarham Fadi dilihat sangat tenang.

 

“Saya lihat dia seperti sedang tidur, sukar untuk mempercayai beliau sudah tiada.

 

“Dia menjadi pensyarah saya sejak semester satu sehingga empat, dan memang seorang pensyarah yang hebat.

 

“Subjek yang sebelum ini sukar untuk difahami menjadi lebih mudah apabila dia yang mengajar, malah sentiasa mengajar luar daripada silibus,” katanya.

 

Seorang lagi penuntut Nur ‘Izzati Mohd Danial berkata, dia antara yang terkesan dengan kejadian yang menimpa pensyarah itu kerana Allahyarham adalah penyelia untuk projek tahun akhirnya dalam bidang kejuruteraan elektrik.

 

“Sampai satu tahap saya sampai terfikir untuk menangguhkan pengajian atas apa yang berlaku kerana saya seperti kehilangan mentor,” katanya

 

Menurut Nur ‘Izzati yang berasal dari Ipoh, Perak, dia sudah dua tahun menjadi pelajar Fadi dan kali terakhir bertemu dengan Allahyarham pada 3 petang Jumaat lalu untuk berbincang mengenai projek akhirnya.

 

“Dia orang yang sangat mesra dan amat murah dengan senyuman.. dia akan beri salam terlebih dahulu sekiranya terserempak dengan kami, tidak mungkin ada musuh yang mahu menyakitinya.

 

“Saya bersyukur dapat menatap wajahnya buat kali terakhir.. tenang dan berseri-seri, namun saya berasa amat sayu dengan kejadian yang menimpanya,” katanya dalam nada sebak.

 

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply