Info

INFO : Ini Rupanya Kenapa ‘Kijang Emas’ Digunakan Untuk Simbol Negeri Kelantan….

Macam yang kita tahu, harimau adalah lambang keberanian dan kekuatan. Sebab tu la Malaysia gunakan harimau dalam pelbagai simbol dalam negara kita, iaitu supaya kita menjadi sebuah negara yang gagah perkasa juga. Contohnya dalam Jata Negara, PDRM, pasukan bola sepak Harimau Malaya, Maybank dan banyak lagi.

 

Tapi, setiap negeri dalam Malaysia juga ada lambang haiwan masing-masing, yang juga membawa maksud yang berbeza. Kesemua haiwan ni melambangkan negeri-negeri tu, dan dalam masa yang sama ada kisah tersendiri.

 

Antaranya adalah…

 

#1- Kijang emas pada hampir semua gambar Cik Siti Wan Kembang, Kelantan

Bagi negeri Cik Siti Wan Kembang ni pulak, lambang haiwan bagi negeri ni adalah kijang. Kijang adalah dari spesies Rusa, juga dikenali dengan nama Rusa Menyalak, sama macam panggilan dalam bahasa Inggeris, iaitu Common Barking Deer, atau Muntjac. Sebabnya, kijang mempunyai ciri-ciri macam rusa, tapi takde tanduk yang bercabang.

Image result for haiwan kijang

Lesen pemburuan rusa dan kijang dah dibekukan Perhilitan sebab populasi rusa dan kijang yang semakin rendah di Semenanjung Malaysia. Imej dari wikipedia

Lambang kijang emas ni sebenarnya dah lama digunakan oleh negeri Kelantan, contohnya sebagai wang emas yang menjadi nilai untuk perbelanjaan rakyatnya pada satu masa dulu. Kepingan duit emas yang digunakan pada zaman itu, masih lagi tersimpan di muzium Negara Malaysia sekarang sebagai bukti kewujudannya.

Image result for haiwan kijang

 

Related image

Dinar emas Kelantan yang bermotifkan kijang. Imej dari rebanas.com

Mengikut kajian ahli arkeologi, Duit Kijang adalah yang paling banyak digunakan di Kelantan berbanding dengan yang lain. Duit ini dinamakan Duit Kijang kerana bahagian hadapan duit tersebut terukir gambar kijang. Ada yang berpendapat duit emas Kelantan ni dikeluarkan di antara kurun ke-16 dan 18 Masihi.

 

Asal-usul kijang dalam negeri Kelantan sebenarnya dikatakan bermula apabila seorang pedagang Arab telah menghadiahkan seekor kijang kepada pemerintah perempuan di Kelantan, iaitu Cik Siti Wan Kembang.

Cik Siti Wan Kembang dan kijangnya, berpisah tiada. Tapi sekali imbas, macam Fazura. Imej dari kosmo

Disebabkan dia sayangkan kijangnya, maka pemerintah perempuan Kelantan ni pun menitahkan agar duit Dinar emas yang ditempa mestilah diukir dengan motif kijang. Pada bahagian belakang duit siling tu pula ditempa dengan tulisan Arab Malik al adil yang bermaksud ”Raja yang Adil’.

 

Beberapa tahun yang lepas, Kelantan sekali lagi memperkenalkan Dinar Emas Kelantan, yang juga mempunyai ciri-ciri paling penting bagi negeri tersebut, iaitu Kijang Emas sebagai simbol negeri tersebut.

 

“Duit kijang ini adalah mata wang zaman Kesultanan Melayu Kelantan-Pattani ketika pemerintahan raja pertama Kelantan, Cik Siti Wan Kembang. Kesahihan tarikh duit itu tidak dapat ditentukan kerana tiada rekod bertulis mengenainya, namun ramai berpendapat ia dibuat sekitar tahun 1500.” – Pengumpul wang lama, Nik Ramezi Muhammad, dipetik dari Berita Harian.

 

 

Lambang kijang ini telah digunakan sebagai lambang negeri Kelantan pada tahun 1916. Dan lambang ini juga telah ditambah dan dijadikan logo dalam Bank Negara Malaysia pada tahun 1964. Lambang Kijang ini telah tertera pada semua wang kertas Malaysia semenjak tahun 1967.

 

Image result for duit kertas seringgit kijang

 

#2- Kita tengok penyu bertelur, Terengganu

 

“Kalu nok tra nasi dagang

Kita pakat gi kampong ladang

Buat bekal gi merang

Di setiu pata peranginan

Singgah sebetor ke rantau abang

Kita tengok penyu telor

Kita tengok penyu telor”

 

Siapa yang tak pernah dengar lagu Iklim, iaitu Blues Terengganu Kita? Dalam bait-bait lirik lagu tu, terang-terang dia promote bukan saja tempat pelancongan dan makanan tradisional Terengganu, tapi juga ikon haiwan untuk negeri tu, iaitu penyu. Tapi, kenapa Terengganu pilih penyu sebagai ikon negeri mereka?

 

Salah satunya adalah sebab penyu sendiri yang memilih perairan Terengganu untuk bertelur, berbanding mana-mana pantai di negeri-negeri lain di Malaysia. Kemungkinannya adalah sebab tempatnya yang strategik.

 

“Dianggarkan juga hanya satu daripada 1,000 anak penyu yang dilepaskan berjaya menjadi penyu dewasa berdasarkan tag yang diletakkan pada anak penyu yang baharu menetas.

 

“Malah Terengganu pernah mencatatkan 2,000 hingga 4,000 penyu agar mendarat setiap tahun, namun jumlah itu sentiasa berubah,” – Sharifah Ruqaiyah Syed Mustafa, Pegawai Kanan Konservasi Marin Penyu Terengganu-WWF Terengganu, dipetik dari Sinar Harian.

 

Image result for penyu

Related image

Disebabkan populasi penyu yang semakin berkurangan beberapa tahun kebelakangan ni, Terengganu ambil serius dengan perkara ni. Mereka juga ada buat kempen ‘Beli jangan, makan pun tidak’ disebabkan penggubalan undang-undang untuk melindungi penyu tak dikuatkuasakan lagi walaupun WWF-Malaysia dah serahkan memorandum kepada kerajaan pusat sejak tahun 2010. Perkara ni dibuat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk pastikan ikon Terengganu tu tak pupus.

Image result for penyu

Terengganu sendiri memang serius dalam pengurusan, pemuliharaan dan juga pemantauan aktiviti pendaratan penyu di seluruh pantai dan sekitar pulau-pulau di Negeri Terengganu. Malah, mereka juga banyak buat program-program pendidikan dan kesedaran Awam Penyu, contohnya macam wujudnya pusat konservasi, iaitu empat santuari Penyu di Rantau Abang, Kemaman, Pulau Redang  dan Pulau Perhentian.

 

Disebabkan penjualan yang berleluasa sampai mengurangkan habitat haiwan tu, mereka terpaksa pula beli telur penyu jenis belimbing dari luar untuk atasi masalah tu, dan dalam masa yang sama menambah populasi penyu di negara kita. Malah, Yayasan Bank Rakyat (YBR) pun ada buat kerjasama dengan Kerajaan  Negeri Terengganu dan Jabatan Perikanan untuk program penyelidikan dan penetasan penyu.

 

“Kita akan beli telur penyu terbabit termasuk dari Papua New Guinea serta Indonesia dan bawa pulang ke Terengganu untuk dieram,”

 

“Dalam tempoh 20 tahun, penyu belimbing ini dijangka kembali dan bertelur di pantai Terengganu,” – Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali, dipetik dari Berita Harian.

 

Jadi kalau nampak orang jual telur penyu, jangan gatal-gatal nak beli ye! Sebab orang lain punyalah buat macam-macam program dan kempen kesedaran untuk lindungi habitat ni, korang pulak pergi beli dan jadi salah satu penyebab kepupusan pulak.

 

 

#3- Team Harimau Selatan yang menyatukan Bangsa Johor

Negeri Johor dikatakan merupakan sebuah negeri Malaysia yang berada di Selatan Malaysia, berdekatan dengan negara jiran, iaitu Singapura. Nama negeri ni dikatakan berasal dari perkataan Arab, iaitu ‘Jauhar’ yang bermaksud ‘Permata’.

Tak, Rosmah bukan bangsa Johor. Imej dari loyarburok

 

Beberapa tahun kebelakangan ni, negeri Johor ni agak popular dan selalu disebut-sebut. Tambah-tambah lagi bila Sultan Johor yang sekarang ni memperkenalkan “Bangsa Johor” untuk rakyat negeri tersebut. Bangga betul mereka yang berbangsa Johor ni!

Bangsa Johor juga dikatakan mempunyai semangat kenegerian yang tinggi. Imej dari Sinar Harian

Masa tu, Tun Mahathir kurang bersetuju dengan perkara tu sebab bunyinya macam nak memecah belahkan rakyat dalam negara ni. Tapi perkara ni dijawab balik oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim yang mengatakan konsep Bangsa Johor dah wujud lama, iaitu sejak tahun 1920 lagi.

 

“Moyang saya, Sultan Sir Ibrahim telah menggunakan pernyataan Bangsa Johor pada tahun 1920 untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di bawah satu panji demi mewujudkan kerjasama, keharmonian dan keamanan yang lebih baik. Tiada mana-mana kaum atau individu yang dipinggirkan. Visi Almarhum ini telah terbukti berjaya.” – Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, dipetik dari The Star.

Walaupun panggilan “Bangsa Johor” ni dah lama wujud, tapi nampaknya nama ni kembali popular beberapa tahun kebelakangan ni disebabkan team bola sepak Johor yang diterajui oleh Tengku Mahkota Johor. Pasukan bola sepak Johor, iaitu The Southern Tigers, atau Harimau Selatan Johor nampaknya turut menggunakan simbol harimau sebagai simbol negara, dan bola sepak mereka dengan dengan panggilan harimau selatan, sempena negeri tu yang berada di selatan Malaysia.

 

#4- Pelanduk putih tendang anjing Parameswara, Melaka

Antara salah sebuah negara yang paling banyak disebut dalam buku sejarah kat sekolah, negeri Melaka terkenal dengan kisah sejarah Hang Tuah lima bersaudara. Selain tu, salah satu kisah popular yang membawa kepada pembukaan Melaka adalah tentang Parameswara, juga dikenali sebagai Sultan Iskandar Shah pada abad ke-15, yang juga menjadi sebab di mana negeri tu mendapat namanya.

Kisah Pelanduk Putih yang menendang anjing Parameswara. Imej dari wordpress

Menurut kisah sejarah, Parameswara masuk ke dalam hutan untuk berburu. Kemudian, dia berehat sebentar di bawah pokok, dan melihat sesuatu yang amat mengejutkannya. Seekor pelanduk putih lalu dan tak semena-mena, menendang anjing buruannya sampai jatuh ke dalam sungai.

 

Disebabkan dia kagum dengan keberanian pelanduk putih tu, jadi dia pun berpendapat yang tempat tersebut membawa tuah dan sesuai untuk dijadikan negeri. Jadi, Parameswara pun menamakan tempat tersebut berdasarkan nama pokok yang disandarnya itu, iaitu pokok Melaka.

Inikah yang dikatakan pelanduk dua serupa? Imej dari melaka.gov

Kisah pelanduk putih ni la yang nampaknya kekal sampai ke hari ni, di mana negeri Melaka meletakkan simbol pelanduk putih ni dalam jata negeri mereka, dengan memegang sebuah perisai. Macam mana pulak dengan Kesultanan Melayu Melaka?

Cerita pelanduk ni je yang masih diterima pakai zaman sekarang. Sultan Melaka? Tak. Imej dari Malay Mail

 

#5- Sekumpulan Helang Kawi yang pernah tinggal di Kedah

Dikatakan salah sebuah negeri tertua di Malaysia, negeri Kedah terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri. Contohnya macam penemuan kerajaan Kedah Tua di mana terdapat pelbagai penemuan arkeologi di Lembah Bujang, Hikayat Merong Mahawangsa, dan terutama sekali kisah Mahsuri di Langkawi.

 

Kat Langkawi pulak, burung helang memang sinonim dengan imej negeri Kedah dari segi pelancongan. Nama Langkawi ialah kombinasi antara “Lang” dan “Kawi“. “Lang” diambil daripada perkataan bahasa Melayu iaitu helang. Pada suatu masa dahulu, Langkawi dikatakan menjadi tempat tinggal kepada sejumlah burung helang kawi. Kawi bererti merah hati, ini kerana helang mempunyai bulu merah hati dan berkepala putih. Kawi juga bererti tulisan Kawi, tulisan yang digunakan oleh masyarakat tradisi Hindu Jawa.

Image result for tugu langkawi

Tugu paling ikonik kat Langkawi ni pernah jadi isu juga bila ada pihak nak robohkan kononnya melanggar hukum syarak Islam. Imej dari indochinaexplore

Sama macam ikon negeri tersebut, pasukan bola sepak negeri Kedah juga menggunakan helang sebagai logo bola sepak mereka. Secara teknikalnya, bendera Kedah memang dominan dengan warna merah.

 

Tapi sebelum helang merah digunakan, kumpulan bola sepak Kedah menggunakan burung Kenari sebagai simbol bola sepak negeri tersebut, juga dikenali sebagai skuad Kenari. Tapi nampaknya Presiden Kedah FA masa tu, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir sendiri yang bagi transformasi dari kenari kepada Helang Merah tu. Tapi, ramai jugalah yang tak setuju dengan penukaran tu. Tapi, Mukhriz kata dah tiba masanya untuk persatuan menampilkan imej yang gah.

 

“Orang lain dah ada imej singa, pahlawan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tonjolkan simbol yang menunjukkan kegagahan kita dalam menghadapi lawan di gelanggang. Jadi sebab itu Helang Merah dipilih,” – Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir

Makin hebat ke tak, orang Kedah? Imej dari kedah news

 

#6- Burung Raja Udang yang unik, seperti rakyat Sabah

Sabah dikenali sebagai “Negeri di Bawah Bayu” kerana kedudukan negeri tersebut yang sangat strategik di bawah laluan angin monsun. Negeri di bawah bayu ni pula terkenal dengan keindahan semulajadi, flora dan fauna dan juga bunga Rafflesia yang boleh ditemui di hutan Sabah dan Sarawak.

 

Simbol haiwan bagi negeri ni adalah burung raja udang, iaitu sejenis haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuhnya dilitupi dengan bulu pelepah.

Image result for raja udang

Imej dari tiapdetik.blogspot

Lambang burung Raja Udang tu beserta dengan sayapnya yang mengandungi 30 helai bulu yang melambangkan 30 daerah di Sabah, sementara bulu ekornya melambang 5 buah bahagian negeri itu yang dahulunya dipanggil Residensi.

 

Bulu sayapnya pula berwarna hitam yang dijadikan lambang keteguhan dan perpaduan.

Badan burung itu pula mempunyai warna yang sama dengan warna bendera Sabah, iaitu merah, biru dan putih yang membawa lambang yang serupa, iaitu keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran.

Lambang negara Sabah. Imej dari sabah-report

Burung Raja Udang dijadikan simbol negeri ni sebab ia mencerminkan masyarakat tani Negeri Sabah. Selain tu, Burung Raja Udang juga dikenali sebagai  sejenis  burung yang bangun awal dan bekerja keras di siang hari, macam rakyat Sabah juga.

Bukan macam korang, tengahari pun tidur lagi. Imej dari picssr.com

 

#71- Burung Kenyalang sebagai mandat untuk pemimpin di Sarawak

Kalau negeri Sabah gunakan Burung Raja Udang sebagai simbol negeri, bagi negeri bumi Kenyalang pula, simbol bagi negeri ni mestilah burung Kenyalang sendiri. Burung Kenyalang dikategorikan sebagai spesies burung enggang terbesar di dunia. Malah, burung ni juga cuma boleh didapati di Kepulauan Borneo dan merupakan spesies burung terlindung dibawah undang-undang Perhilitan Malaysia. Sumber makannya pulak selalunya adalah pokok ara, iaitu sejenis pokok hutan  yang sering menjadi persinggahan spesies ni.

Jata negeri Sarawak sejak tahun 1963. Imej dari hubert-herald

Sarawak juga dikenali dengan masyarakat pelbagai etnik. Etnik-etnik yang ada di Sarawak juga mengakui burung kenyalang ni sebagai burung yang hebat, kerana dipercayai memiliki elemen magisnya tersendiri.

 

Salah satunya adalah etnik Dayak di mana mereka menganggap burung kenyalang sebagai dewa yang paling berkuasa sehingga spesies unggas besar yang didapati mati, tidak akan sesekali dibuang. Bagi sesetengah orang Dayak, burung Kenyalang juga merupakan Dewa Perang mereka.

 

Selain tu, etnik Kenyah juga menggunakan perhiasan kepala Kenyalang ni sebagai mandat untuk pemimpin, dan juga pahlawan Kenyah.

 

“Perhiasan kepala burung kenyalang menjadi simbol status dan kepercayaan mengikut tradisi masyarakat Kenyah. Pemakaiannya ibarat mandat daripada pemimpin tertinggi, malah pemakainya akan dipandang tinggi oleh anggota masyarakat.

 

“Burung kenyalang menjadi simbol istimewa buat pahlawan Kenyah apatah lagi spesies berkenaan tidak mudah didapati, malah pembuatan perhiasan kepala yang rumit memerlukan sekurang-kurangnya satu tahun bagi memastikan ia benar-benar kering sebelum boleh dihias,” – Kurator Kanan Muzium Tekstil Negara, Rosidah Abdullah, dipetik dari Berita Harian.

Imej dari Berita Harian

 

Haiwan sebagai simbolik unik setiap negeri

 

Ada beberapa haiwan yang kitorang sebut kat atas ni diambang kepupusan macam penyu, harimau, kijang dan lain-lain. Kalau boleh, tak naklah sampai pupus sebab tu ikon negeri yang ada dalam Malaysia.

 

Bagi negeri-negeri yang tak disebut pulak, sama ada negeri korang ni tak gunakan simbol binatang, ataupun kitorang sebenarnya tak cukup info untuk tulis lebih lagi. Contohnya macam Seladang yang dikatakan merupakan haiwan legenda yang terkenal di negeri Perak, dan Pahang yang terkenal dengan gajah.

 

Jadi, korang setuju tak dengan binatang yang jadi simbol negeri korang?

 

 

Sumber : sos cili

Leave a Reply