Info,  TERKINI

Homestay suspek dijumpai..! Penduduk terkejut!

LELAKI warga asing yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan pensyarah warga Palestin dikesan mendiami sebuah rumah inap desa (homestay) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.

Suspek dipercayai menyewa tingkat atas rumah dua tingkat itu sepanjang melakukan ‘kerja memantau’ pergerakan sasaran iaitu Dr Fadi M R Albatsh Fatma.

Sumber yang tinggal di kawasan berhampiran berkata, sepanjang menyewa kediaman berkenaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Versys dan kereta Proton Saga BLM, turut diletakkan di ruang parkir rumah itu.

“Sepanjang berada (menyewa) di sini, lelaki (suspek) terbabit didapati kerap membawa keluar motosikal itu pada waktu dan hari tertentu, manakala kereta Proton Saga pula hanya didapati keluar selepas 21 April lalu.

“Selain itu, dia juga kerap berada di kediamannya di tingkat atas dan jarang keluar untuk bertemu atau berbual dengan jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui, tengah hari tadi.

Katanya, pada hari kejadian pembunuhan Dr Fadi, beberapa penduduk menyedari suspek keluar dari rumah itu pada awal pagi berdasarkan bunyi motosikalnya.

“Kami tidak merasakan sebarang yang mencurigakan sehinggalah gambar suspek tersebar dan didedahkan oleh pihak media.

.

“Sejak hari kejadian, kami langsung tidak melihat kelibatnya, namun tidak menolak kemungkinan pemilik rumah itu mengenali identiti suspek yang menyewa rumahnya,” katanya.

Sementara itu, ketika wartawan NSTP mendekati rumah berkenaan hari ini, kediaman berkenaan didapati tidak berpenghuni.

Bagaimanapun, beberapa penduduk memaklumkan pihak polis sudah menjalankan siasatan ke atas rumah inap desa itu sejak Selasa lalu.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek terbabit berusaha untuk tidak mendedahkan lokasi tepat rumah sewanya kepada pemilik motosikal dan kereta yang disewa daripada rakyat tempatan sejak Februari lalu.

Berdasarkan maklumat awal, suspek sengaja memberikan lokasi kedudukan tidak tepat kepada penghantar motosikal dan kereta yang disewanya.

“Tujuannya adalah untuk mengelakkan pemilik dua kenderaan yang disewa tahu lokasi sebenar kediamannya.

“Meskipun begitu, suspek sudah melunaskan semua bayaran sewa motosikal dan kereta untuk tempoh tiga bulan sebelum memaklumkan pemilik untuk mengambil semula kenderaan itu di lokasi tertentu termasuk Taman Tasik Ampang Hilir,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/04/334483/penembak-dr-fadi-sewa-homestay#cxrecs_s

Leave a Reply