Info

DISEBABKAN SEORANG MENTERI BESAR. SULTAN BERNAZAR TAK MAHU CUKUR JANGGUT DAN JAMBANG!

Sejak kebelakangan ni, sekali lagi isu berkait dengan Raja-Raja Melayu dibangkitkan. Semuanya mula bila Tengku Mahkota Johor (TMJ) keluarkan kenyataan khas untuk rakyat Johor. Bagaimanapun, kenyataan tu dah dapat banyak reaksi sama ada yang sokong dan juga tak setuju.

 

Tak lama lepas tu, TMJ keluarkan lagi kenyataan yang kata setiap keputusan dan pendapat tu adalah hak masing-masing. Kenyataan tu juga kata yang baginda tak memihak kepada mana-mana, sama ada Datuk Seri Najib atau Tun Dr Mahathir.

 

Perkembangan yang jadi ni sebenarnya dapat banyak perhatian sebab tak lama lagi kita akan berdepan dengan Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Jadinya, boleh dikatakan yang debat politik kat Malaysia semakin hari semakin panas!

 

Walaupun macam tu, Raja-Raja Melayu selalunya menghindarkan diri mereka dari konflik politik. Perkara ni sebenarnya tepat, sebab kedudukan Raja-Raja tu sendiri melebihi politik. Malah, sejak sekian lama juga orang Melayu percaya dengan konsep daulat dan derhaka.

 

‘Pantang Melayu Derhaka’ – Dari perjanjian epik antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun

Menurut bekas pensyarah Antropologi dan Sosiologi, Dr Syed Husin Ali – antara rujukan utama kalau kita nak tahu asal usul Raja Melayu adalah dengan baca Sejarah Melayu (atau Sulalatus Salatin). Menurut catatan tu, Raja Melayu pertama kat Alam Melayu ni adalah Seri Teri Buana atau dikenali juga sebagai Sang Sapurba.

 

“Menurut legenda, dia muncul daripada muntah seekor lembu. Menurut kepercayaan Hindu, lembu adalah binatang suci, dan dalam sejarah awal orang Melayu, mereka menerima pengaruh kuat daripada budaya Hindu. Adalah dipercayai bahawa Seri Teri Buana merupakan keturunan Alexander (Iskandar Zulkarnain).” – Kata Syed Husin dalam bukunya: The Malay Rulers: Regression or Reform?.

 

Melalui Sejarah Melayu juga, kita dididik untuk sentiasa taat kepada raja seperti mana yang dipersetujui dalam waadat (perjanjian) antara Demang Lebar Daun (mewakili rakyat) dengan Sang Sapurba (raja).

Perjanjian antara Demang Lebar Daun & Sang Sapurba. Imej dari Projek Dialog.

Dari perjanjian ni dah jelas menyatakan yang orang Melayu akan taat dan setia kepada raja mereka walaupun mereka dizalimi. Dalam masa sama, keturunan Sang Sapurba (raja-raja Melayu) pun berjanji yang mereka tak akan mengaibkan atau menista rakyatnya walaupun dosa mereka sebesar mana sekalipun, dan kalau nak dihukum mati – hukuman tu mestilah mengikut hukum syarak.

 

Tapi, Demang Lebar Daun pun bagi syarat – kalau anak cucu raja ubah waadat tu, maka anak cucunya juga boleh berbuat benda yang sama. Apa yang menarik, dari perjanjian ni jugaklah munculnya konsep daulat dan derhaka.

 

“Rakyat yang tidak taat atau setia kepada raja dikatakan akan ‘ditimpa daulat’ atau mengalami ‘tulah’, iaitu satu bentuk sumpah yang akan menimpa rakyat yang menderhaka kepada raja.” – Dipetik dari jurnal tulisan Tengku Intan Marlina & Salinah Ja’afar.

 

Walaupun macam tu, konsep ‘tulah’ ni semakin lama dah tak dipercayai sangat – selaras dengan arus pemodenan. Malah, selepas negara ni merdeka, konsep raja tu ditukar kepada konsep ‘Raja Berperlembagaan‘.

 

Lahirnya konsep Raja Berperlembagaan dan tamatnya kekebalan raja-raja

Salah satu antara perkara penting yang dikaitkan dengan raja-raja Melayu adalah bila adanya 7 Wasiat Raja-Raja Melayu yang dikatakan dibentuk pada 5 Ogos 1957. Wasiat tu dah sentuh banyak perkara, termasuklah pasal – Tanah Rizab Melayu, Bahasa Melayu, agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan sebagainya.

 

“Jika demikian keadaannya, Raja-Raja Melayu yang sebelumnya memerintah secara kuasa mutlak telah berkenan menyerahkan kuasa baginda-baginda itu kepada apa yang dipanggil sebagai “Perlembagaan Persekutuan” yang boleh ditambah atau dipinda melalui kuasa yang dipilih rakyat di rumah yang mulia dinamakan Parlimen.” – Tan Sri Dato’ Dr. Nordin Kardi, dipetik dari Utusan Malaysia.

Raja-raja, para pembesar Melayu & pegawai British di Mesyuarat Pertama Majlis Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu (Durbar). Imej dari Arkib Negara.

Jadinya, jelas kat sini yang konsep raja berkuasa mutlak dah tak diterima lagi kat Malaysia semenjak tahun 1957. Walaupun macam tu, peranan raja-raja masih lagi ada kat setiap negeri beraja dan juga sebagai Yang Dipertuan Agong (YDP).

 

Sebagai contoh, Majlis Raja-Raja ada kuasa yang besar dalam melantik jawatan penting dalam Badan Kehakiman, terutamanya pelantikan dan pemecatan hakim kat Mahkamah Persekutuan.

 

Tapi pada tahun 1992 – 1993, dah muncul satu kontroversi bila kerajaan bercadang nak pinda Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan kekebalan Raja-Raja. Ini kerana, sebelum tu semua raja kebal daripada apa-apa prosiding mahkamah.

 

Sebenarnya, sepuluh tahun sebelum tu, Parlimen dah pun pinda Perlembagaan berkenaan dengan kuasa YDP Agong dalam menolak sesuatu rang undang-undang yang dah dilulus Parlimen.

 

Kesannya, kalau sesuatu rang undang-undang tu ditolak oleh YDP Agong, ia boleh dibawa balik ke Parlimen. Dan kalau Parlimen meluluskannya sekali lagi, makanya rang undang-undang tu akan jadi undang-undang yang sah dalam jangka masa 30 hari walaupun tak dapat tandatangan YDP Agong. Boleh tengok dalam Perkara 66 (4) Perlembagaan Persekutuan.

 

Dalam kes kekebalan raja pulak, masa tu dah dibangkit isu-isu berkenaan dengan tindakan segelintir raja dan kerabatnya yang tak berapa baik (boleh tengok dalam hansard Parlimen). Jadinya, pihak kerajaan bawa isu ni ke Parlimen dan cadangkan supaya kekebalan raja-raja (Sovereign Immunity) dipinda.

 

“…tindakan Raja-Raja dan pihak-pihak yang berlindung di belakang Raja yang melampaui hak dan keistimewaan Raja, semakin lama semakin serius. Kemungkinannya ialah ia akan menjadi lebih serius lagi di masa-masa hadapan.” – Dr Mahathir Mohammad, dipetik dari ucapannya di Parlimen (18/01/1993).

 

Dr Mahathir juga ada bagitau yang sebelum ni dah banyak kali para Perdana Menteri nasihatkan Raja-Raja. Tapi nampaknya nasihat tu tak berapa jalan.

 

“Allahyarham Tun Hussein Onn, semasa menjadi Perdana Menteri, pernah dalam ucapan bertulis di suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja, yang dihadiri hanya oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia atau wakil-wakil mereka sahaja, menegur dengan kerasnya perbuatan Raja-Raja yang tidak harus dilakukan. Tetapi semua teguran ini tidak berkesan.” – Dr Mahathir Mohammad, dipetik dari ucapannya di Parlimen (18/01/1993).

Dr Mahathir kat Parlimen tahun 1999. Imej dari Utusan Malaysia.

Disebabkan perkara-perkara ni, akhirnya Parlimen buat keputusan untuk meminda kekebalan raja-raja dan Mahkamah Khas diwujudkan dalam kes yang libatkan YDP Agong, Raja-Raja Negeri dan Permaisuri Agong/Raja.

 

Sebenarnya bukan mudah nak pinda Perlembagaan ni. Sebabnya, masa ahli-ahli Parlimen berbincang pasal kes salah laku Raja-Raja, mereka juga takut kalau-kalau mereka boleh ditahan dalam Akta Hasutan.

 

“Beberapa orang anggota Parlimen DAP ketika bercakap-cakap dengan Dr Mahathir di luar Parlimen semasa waktu rehat persidangan telah menyatakan kebimbangan mereka…

 

Walaupun pertanyaan itu dikemukan kepada Ghafar Baba tetapi mereka memerhatikan Dr Mahathir yang berada di samping Ghafar dan Dr Mahathir menjawab ‘bukan saudara-saudara sahaja yang tidak selamat, tetapi saya juga tidak selamat’.” – Zainuddin Maidin. Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir.

Dr Mahathir & Ghafar Baba. Imej dari Utusan Malaysia.

 

Mahkamah Khas pertama kali bersidang pada tahun 2008

Mungkin ramai antara kita yang bincang pasal kelebihan Raja-Raja dan masih lagi rasa yang Raja-Raja ni selalunya berada kat luar undang-undang. Sebenarnya, banyak je peruntukan Perlembagaan yang tak benarkan atau halang YDP Agong dari buat sesuatu. Antaranya adalah macam apa yang diperuntukan dalam Perkara 34 Perlembagaan Persekutuan.

 

Dalam perkara tu dah dinyatakan yang YDP Agong tak boleh…

 

Menjalankan fungsinya sebagai Raja Negerinya kecuali sebagai Ketua agama Islam.

#1- Tak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersil.

#2- Tak boleh terima apa-apa jenis emolumen (wang atau bayaran) yang kena dibayar atau terakru (bukan hak atau tuntutan) kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negeri.

#3- YDP Agong tak boleh tinggalkan negara selama lebih 15 hari tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja (kecuali masa buat lawatan negara ke satu negara lain).

#4- YDP Agong, Sultan Muhammad V & Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Negara. Imej dari BERNAMA.

Jadinya, peruntukan ni dah membuktikan yang YDP Agong juga tak terlepas dari peraturan-peraturan dan undang-undang.

 

Dalam kes Mahkamah Khas pulak, ia diwujudkan khas untuk membicarakan Raja-Raja termasuk YDP Agong, Raja Permaisuri Agong, Sultan-Sultan/Raja-Raja atau Permaisuri-Permaisuri Agong, kalau mereka ada buat apa-apa kesalahan jenayah atau wujud tuntutan sivil.

 

“Ini satu pekara yang tidak ada di negara-negara Beraja lain yang mengamalkan konsep ‘The King is above the law’.” – Tun Abdul Hamid, Bekas Ketua Hakim Negara. Dipetik dari Astro Awani.

Mahkamah Khas ni dipengerusi oleh Ketua Hakim Negara dan dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah,Sarawak & beberapa lagi. Imej dari BH Online.

Dalam hal ni, Mahkamah Khas buat kali pertamanya bersidang pada tahun 2008 – dalam kes tuntutan saman terhadap Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan) oleh Standard Chartered Bank Malaysia Berhad. Baginda juga adalah YDP Agong ke-10. Keputusannya, Mahkamah Khas mengarahkan Tuanku Ja’far membayar RM3.5 juta kepada bank itu pada Oktober 2008.

Dalam keadaan tertentu, ada juga pergeseran antara Raja dan ahli politik

Mungkin kita masih ingat dengan titah Sultan Pahang – yang Raja-raja Melayu tak berpihak kepada mana-mana fahaman politik kepartian dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negara. Bagaimanapun, dalam situasi-situasi tertentu – konflik antara istana dan ahli politik tetap boleh jadi.

 

Antaranya apa yang jadi antara Dato’ Onn Jaafar dengan Sultan Kedah. Masa tahun 1940-an sampai tahun 1950-an, dah jadi satu persaingan politik antara Dato’ Onn dengan Tunku Abdul Rahman. Dalam kes ni, orang nampak Tunku amalkan nasionalisme tradisional, manakala Dato’ Onn pulak lebih bersikap anti-feudal.

Tunku masa sambut birthday yang ke-65. Imej dari My Sinchew.

Jadinya, dah jadi satu krisis antara Dato Onn dan Sultan Badlishah (Sultan Kedah) yang juga adalah abang kepada Tunku Abdul Rahman. Isu ni jadi bila Dato’ Onn minta Majlis Raja-Raja Melayu lantik orang Melayu jadi Timbalan Pesuruhjaya Tinggi.

 

“Sultan Badlishah telah memainkan peranan menggerakkan Raja-raja Melayu lain untuk sama-sama menentang cadangan Dato’ Onn. Baginda dipercayai mendapat nasihat daripada Tunku Abdul Rahman memandangkan beliau abang kepada Tunku.” – Dipetik dari jurnal tulisan Ku Hasnan, Ainudin Lee & Suhaimi Sulaiman.

 

Tapi sebenarnya, Dato’ Onn sebelum tu dah pun berkrisis dengan Sultan Johor – Sultan Ibrahim. Hal ni jadi bila Dato’ Onn mengkritik Sultan Johor yang melelong harta ayahnya Dato’ Jaafar yang dikatakan berhutang dengan kerajaan negeri Johor. Disebabkan hal ni, Dato’ Onn dah dibuang kerja pada Jun 1920 dan hanya diterima balik pada tahun 1922 bila Tunku Ismail berjaya pujuk Sultan Ibrahim.

 

Dalam kes kat Perak pulak, dah jadi krisis antara Menteri Besar Tan Sri Ghazali Jawi (allahyarham) dengan Sultan Perak. Kesannya, Ghazali letak jawatan pada tahun 1959 bila jadinya perselisihan faham dengan Almarhum Sultan Yusof pasal isu pelantikan Raja Bendahara kepada Datuk Bendahara.

Tan Sri Ghazali Jawi. Imej dari Wikipedia.

Tapi pada tahun 1974, Ghazali sekali lagi jadi MB Perak dan sekali lagi krisis dengan istana jadi. Kali ni, Sultan Perak – Sultan Idris (almarhum) dah berkrisis dengan Ghazali, tapi masalahnya Ghazali tetap tak nak letak jawatan. Hal ni dah buatkan Sultan Perak memprotes, tak mahu hadir di mana-mana majlis yang ada Ghazali dan…

 

“Sultan mengambil tindakan bernazar dengan menyimpan janggut, misai dan jambang, iaitu selagi Haji Ghazali Jawi menduduki kerusi Menteri Besar, Baginda tidak bercukur.” – Mokhtar Petah, dipetik dari buku: Siapa Bakal Menteri Besar Perak.

 

Bila masalah tu berjaya je diselesaikan dan Ghazali akhirnya letak jawatan, barulah Sultan Perak berkenan nak cukur janggut dalam satu upacara.

 

Tapi sebenarnya, krisis politik kat Perak ni nampaknya berbunga lagi pada tahun 2009. Hal ni jadi bila empat ADUN Pakatan Rakyat (PR) dah keluar parti dan jadi wakil bebas. Diorang ni kemudiannya isytihar sokong BN. Bila jadi macam ni, MB Perak masa tu – Nizar Jamaluddin minta supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

 

Tapi Sultan tak memperkenankan permintaan tu dan DUN Perak tak dibubarkan. Bila jadi macam tu, Nizar tak nak lepas jawatan sebagai MB. Maka, jadilah banyak kekecohan kat Perak macam persidangan DUN bawah pokok, demonstrasi, malah ada cubaan menghalang kereta yang membawa Raja Muda Perak.

Antara yang berdemontrasi tak puas hati dengan tindakan ADUN keluar parti dan sokong BN. Imej dari daengselili.blogspot

Walaupun isu ni ada dibawa ke mahkamah, tapi lama-lama isu ni sejuk macam tu je. Sampailah PRU-13 yang menyaksikan BN dibagi mandat memerintah kat Perak.

 

Dalam isu lain pulak, kita juga boleh nampak krisis MB Selangor yang pernah mengheret istana. Hal ni jadi bila PKR dengan DAP nak lantik Wan Azizah jadi MB Selangor. Tapi cadangan tu ditolak PAS. Jadinya, Sultan Selangor minta setiap parti dalam Pakatan Rakyat (PRK, DAP & PAS) cadangkan lebih dari 2 nama calon sebagai MB.

Tindakan PKR dan DAP yang cuma bagi satu nama jugak dah membuatkan Sultan Selangor berasa amat dukacita. Akhirnya, masalah ni selesai bila Azmin Ali dilantik jadi MB Selangor yang baru.

 

Raja Melayu pelindung rakyat dari ‘ombak perebutan kuasa’ – Sultan Nazrin

Kesimpulannya, sesiapa saja yang ada jadi rakyat Malaysia, kita kenalah berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi kat negara ni. Sebarang undang-undang atau peraturan yang bertentangan dengan Perlembagaan dianggap terbatal sama sekali.

 

Hal ni juga jadi kat negara-negara beraja lain. Macam kat Jepun, Maharaja negara tu sendiri tak bebas nak turun takhta walaupun secara sukarela. Tapi ia cuma boleh jadi dengan ikut peruntukan Perlembagaan – bila dewan bawah dan dewan Parlimen negara tu buat keputusan yang benarkan Maharaja buat macam tu.

 

“Queen Elizabeth UK mula membayar cukai pendapatan seperti rakyat baginda pada tahun 1993, setahun selepas Istana Windsor terbakar. Awal-awal lagi selepas malapetaka itu, media telah meluahkan sentimen rakyat bahawa pihak istana sendiri harus mengeluarkan belanja membaikinya.” – Tan Sri Adam Kadir, Pakar Undang-Undang. Dipetik dari Sinar Harian.

Apa yang pasti sistem beraja kat Malaysia ni sangatlah unik. Kitalah satu-satunya negara yang ada sultan kat sembilan negerinya. Pelantikan YDP Agong juga tersusun secara bergilir-gilir. Dengan pergolakan dan perebutan politik yang jadi kat negara ni, raja-raja Melayulah yang diharapkan sebagai pengimbangnya.

 

“Ketika warga dilanda hempasan ombak perebutan kuasa yang kelihatan semakin meretakkan perpaduan, barang dijauhkan warga dari menghadapi nasib ‘benang habis, kain tak jadi’, ‘jarum patah, baju tak siap’.

 

“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berada dalam sebaik-baik kedudukan untuk melindungi kepentingan warga.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari BERNAMA.

Sultan Nazrin & Tan Sri Harussani (Mufti Perak). Imej dari Utusan Online.

Tambah baginda lagi…

 

“Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku, tanpa nyawa tanpa jiwa. Raja-Raja tidak daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan…Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran raja-raja.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak.

Sumber : Soscili.my

Leave a Reply